Penyakit buah pinggang berlaku disebabkan oleh pelbagai keadaan yang berbeza yang merosakkan buah pinggang dan menurunkan fungsinya. Diabetis telah dikenal pasti sebagai punca utama penyakit buah pinggang, atau dikenali juga sebagai kegagalan buah pinggang kronik.
Tekanan darah tinggi, beberapa jenis kanser dan ubat penahan sakit juga boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang. Kebiasaannya penyakit buah pinggang tidak menunjukkan sebarang tanda di awalnya. Gejalanya hanya akan muncul setelah buah pinggang anda rosak teruk dan tahap kesihatan anda semakin menurun.
Kerap Buang Air Kecil
Tanda pertama sekali yang akan muncul apabila buah pinggang anda telah rosak ialah anda akan berasa kerap hendak kencing, terutamanya pada waktu malam. Apabila anda membuang air kencing, kebiasaanya air kencing berwarna jernih. Ini disebabkan buah pinggang anda telah berhenti menapis sisa buangan yang terdapat di dalam darah ke dalam air kencing.
Keletihan & Tahap Kesihatan Menurun
Oleh kerana buah pinggang anda telah berhenti menapis sisa buangan keluar dari darah, bahan tersebut akan mula berkumpul di dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan badan anda menjadi letih, dan tahap kesihatan anda akan menurun.
Selain dari itu, anda juga akan mengalami masalah kulit menjadi kering dan juga kegatalan. Pesakit dengan penyakit buah pinggang juga boleh mengalami muntuh-muntah, loya, hilang selara makan secara mendadak dan kehilangan berat badan.
Bengkak
Satu lagi kesan yang berlaku akibat dari menurunnya fungsi buah pinggang ialah berlakunya pembengkakan di tubuh badan. Keadaan ini dipanggil sebagai edema. Biasanya edema sering berlaku di kaki, tangan, muka dan abdomen.
Peningkatan cecair di dalam badan juga akan menyebabkan berlakunya tekanan darah tinggi. Ini kerana jantung terpaksa mengepam darah dengan lebih kuat lagi ke seluruh tubuh badan. Tekanan darah tinggi pula akan memburukkan dan mempercepatkan lagi kerosakan pada buah pinggang anda.
Mengantuk & Kekeliruan
Penyakit buah pinggang juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf di dalam otak dan badan anda, yang akhirnya akan membawa kepada gangguan mental. Akibatnya, anda mungkin akan mengalami mengantuk, kekeliruan, kesukaran untuk membentuk dan mengekalkan penumpuan pemikiran, dan juga sawan.
Sesetengah pesakit juga boleh mengalami kebas atau rasa sensasi kesemutan di bahagian kaki, tangan dan anggota badan yang lain. Otot anda juga akan mudah menjadi kejang tanpa sebab. Dan anda juga akan mengalami penurunan untuk melakukan hubungan seks yang akhirnya diiringi oleh mati pucuk.
Gangguan Tidur
Masalah gangguan tidur juga boleh berlaku disebabkan oleh penyakit buah pinggang. Anda akan mengalami insomnia yang tidak diketahui puncanya, Atau pun tidur anda akan terganggu disebabkan oleh kekejangan pada kaki dan msalah yang dipanggil obstructive sleep apnea, di mana tekak menjadi bengkak dan mengganggu pernafasan ketika anda sedang tidur.
Sakit Perut
Dan akhir sekali, pesakit buah pinggang juga merasa sakit di bahagian perut atau belakang. Kesakitan sering dirasai di bahagian belakang dan sisi, di sekitar kawasan buah pinggang, di antara tulang rusuk dan pinggul. Pesakit juga mungkin akan mengalami sakit di tulang dan sendi.
Sumber: LiveStrong.com – Kidney Disease Symptoms & Pains
Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.
Tentang penulis: Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terbaru melalui emel.







