Tag Archives: buah pinggang rosak

buah-pinggang1

Sakit & Simptom Penyakit Buah Pinggang

Penyakit buah pinggang berlaku disebabkan oleh pelbagai keadaan yang berbeza yang merosakkan buah pinggang dan menurunkan fungsinya. Diabetis telah dikenal pasti sebagai punca utama penyakit buah pinggang, atau dikenali juga sebagai kegagalan buah pinggang kronik.

Tekanan darah tinggi, beberapa jenis kanser dan ubat penahan sakit juga boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang. Kebiasaannya penyakit buah pinggang tidak menunjukkan sebarang tanda di awalnya. Gejalanya hanya akan muncul setelah buah pinggang anda rosak teruk dan tahap kesihatan anda semakin menurun.

 Kerap Buang Air Kecil

Tanda pertama sekali yang akan muncul apabila buah pinggang anda telah rosak ialah anda akan berasa kerap hendak kencing, terutamanya pada waktu malam. Apabila anda membuang air kencing, kebiasaanya air kencing berwarna jernih. Ini disebabkan buah pinggang anda telah berhenti menapis sisa buangan yang terdapat di dalam darah ke dalam air kencing.

Keletihan & Tahap Kesihatan Menurun

Oleh kerana buah pinggang anda telah berhenti menapis sisa buangan keluar dari darah, bahan tersebut akan mula berkumpul di dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan badan anda menjadi letih, dan tahap kesihatan anda akan menurun.

Selain dari itu, anda juga akan mengalami masalah kulit menjadi kering dan juga kegatalan. Pesakit dengan penyakit buah pinggang juga boleh mengalami muntuh-muntah, loya, hilang selara makan secara mendadak dan kehilangan berat badan.

Bengkak

Satu lagi kesan yang berlaku akibat dari menurunnya fungsi buah pinggang ialah berlakunya pembengkakan di tubuh badan. Keadaan ini dipanggil sebagai edema. Biasanya edema sering berlaku di kaki, tangan, muka dan abdomen.

Peningkatan cecair di dalam badan juga akan menyebabkan berlakunya tekanan darah tinggi. Ini kerana jantung terpaksa mengepam darah dengan lebih kuat lagi ke seluruh tubuh badan. Tekanan darah tinggi pula akan memburukkan dan mempercepatkan lagi kerosakan pada buah pinggang anda.

Mengantuk & Kekeliruan

Penyakit buah pinggang juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf di dalam otak dan badan anda, yang akhirnya akan membawa kepada gangguan mental. Akibatnya, anda mungkin akan mengalami mengantuk, kekeliruan, kesukaran untuk membentuk dan mengekalkan penumpuan pemikiran, dan juga sawan.

Sesetengah pesakit juga boleh mengalami kebas atau rasa sensasi kesemutan di bahagian kaki, tangan dan anggota badan yang lain. Otot anda juga akan mudah menjadi kejang tanpa sebab. Dan anda juga akan mengalami penurunan untuk melakukan hubungan seks yang akhirnya diiringi oleh mati pucuk.

Gangguan Tidur

Masalah gangguan tidur juga boleh berlaku disebabkan oleh penyakit buah pinggang. Anda akan mengalami insomnia yang tidak diketahui puncanya, Atau pun tidur anda akan terganggu disebabkan oleh kekejangan pada kaki dan msalah yang dipanggil obstructive sleep apnea, di mana tekak menjadi bengkak dan mengganggu pernafasan ketika anda sedang tidur.

Sakit Perut

Dan akhir sekali, pesakit buah pinggang juga merasa sakit di bahagian perut atau belakang. Kesakitan sering dirasai di bahagian belakang dan sisi, di sekitar kawasan buah pinggang, di antara tulang rusuk dan pinggul. Pesakit juga mungkin akan mengalami sakit di tulang dan sendi.

Sumber: LiveStrong.com – Kidney Disease Symptoms & Pains

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terbaru melalui emel.

Share
dialysis patient

Peringkat Akhir Kegagalan Buah Pinggang

Peringkat akhir penyakit buah pinggang dikenali sebagai kegagalan buah pinggang atau peringkat akhir penyakit buah pinggang (ESRD - End Stage Renal Disease). Buah pinggang anda merupakan organ yang sangat penting. Oleh itu, pengurusan yang baik oleh doktor, pakar diet, jururawat dan juga pakar dialisis adalah perlu untuk menyokong kehidupan pesakit buah pinggang.

ESRD adalah keadaan yang akan berlaku selepas penyakit buah pinggang kronik, oleh itu anda akan melalui beberapa perubahan besar pada tubuh badan apabila penyakit buah pinggang kronik anda telah hampir pada tahap ESRD.

Dan bagi kebanyakan pesakit, masa ini adalah saat yang paling sukar untuk dilalui kerana ia akan menyebabkan berlakunya gejala yang teruk.

Pilihan

Menurut laman web MedLine Plus, ESRD biasanya berlaku apabila penyakit buah pinggang kronik anda telah sampai ke tahap di mana fungsi buah pinggang anda adalah kurang daripada 10 peratus daripada biasa.

Pada ketika ini, buah pinggang anda tidak lagi dapat berfungsi dan menyokong kehidupan anda. Sebagai pesakit, antara pendekatan yang akan diberikan kepada anda ialah sesi kaunseling yang akan menerangkan pelbagai jenis dialisis.

Selain itu doktor juga akan menentukan jika pemindahan buah pinggang boleh menjadi pilihan lain selain rawatan dialisis. Mereka akan bertanya sekiranya ada diantara ahli keluarga anda yang sanggup untuk mendermakan buah pinggang. Ataupun mungkin nama anda akan diletakkan dalam senarai menunggu untuk pemindahan buah pinggang.

Gejala

Kebiasaannya gejala yang disebabkan oleh kegagalan buah pinggang termasuk keletihan melampau, malnutrisi, muntah, kemalasan umum, sakit kepala dan loya. Selalunya nafas dan kulit pesakit akan berbau seperti air kencing kerana toksin yang tidak lagi ditapis oleh buah pinggang.

Kebanyakan pesakit kurang menghasilkan air kencing kerana keupayaan buah pinggang untuk menghasilkan air kencing telah terjejas.

Potassium

Tahap potassium sering menjadi tinggi kerana buah pinggang tidak lagi menapis potassium keluar dari badan. Keadaan ini dipanggil sebagai hiperkalemia. Keadaan ini boleh membawa maut kerana jantung akibat aritmia. Tahap potassium dikalangan pesakit yang semakin menghampiri kegagalan buah pinggang perlu dipantau. Pengawalan pemakanan sangat penting untuk membantu mencegah tahap potassium menjadi tinggi.

Fosforus

Tahap fosforus yang tinggi dalam darah adalah disebabkan kegagalan buah pinggang untuk menapis kandungan fosforus. Ini dipanggil hiperfosfatemia. Tahap fosforus yang tinggi akan menarik kalsium daripada tulang, dan ini akan menyebabkan tulang menjadi lemah dan mudah retak.

Selain itu anda juga akan mengalami kegatalan kulit yang tidak terkawal. Hiperfosfatemia boleh dikawal dengan cara mengawal pengambilan makanan yang tinggi tahap potassiumnya dan mengambil ubat pengikat fosfat. Dengan ini fosforus akan mudah keluar melalui najis anda dan bukannya masuk ke dalam aliran darah.

Vaksin

Oleh kerana tahap kesihatan pesakit ESRD berada pada tahap yang rendah, adalah sangat penting untuk memberikan kepada mereka beberapa jenis vaksin. Laman web MedLine Plus mencadangkan agar pesakit ESRD diberikan vaksin pneumococcal polysaccharide, influenza, H1N1, hepatitis A dan B.

Sumber : Livestrong.com : Final Stages Of Kidney Failure

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terbaru melalui emel.

Share

Diet Untuk Kegagalan Buah Pinggang Tahap 4

kidney diet tip

kredit foto: livestrong.com

Penyakit buah pinggang kronik ialah keadaan di mana buah pinggang anda semakin kehilangan fungsinya secara beransur-ansur. Penyakit ini dikelaskan mengikut tahap, bermula dari tahap 1 hingga 5 berdasarkan kepada tahap fungsi buah pinggang anda.

Peringkat yang keempat penyakit buah pinggang bermaksud buah pinggang anda berada di tahap yang sangat teruk dan tidak lama lagi akan kehilangan semua fungsinya. Mengamalkan diet yang sihat adalah penting kepada semua orang, tetapi bagi anda yang mempunyai penyakit buah pinggang ianya adalah lebih penting lagi.

Walaupun peringkat keempat menunjukkan buah pinggang anda berada di tahap yang serius, terdapat pemilihan makanan yang dapat membantu anda untuk mengekalkan fungsi buah pinggang.

Perhatikan Makanan Yang Mengandungi Garam

Mengawal tekanan darah adalah sangat penting jika fungsi buah pinggang anda berada di tahap yang keempat. Untuk mengawal tekanan darah, anda perlulah berhati-hati mengambil makanan yang mempunyai tinggi kandungan sodium.

Kebiasaannya, diet yang mengandungi tahap sodium yang terhad adalah melibatkan pengambilan harian yang kurang dari 2000 mg. Secara umumnya, makanan yang diproses atau makanan di dalam tin mengandungi tahap kandungan sodium yang tinggi.

Oelh itu, sebaiknya anda mengamalkan pengambilan makanan yang segar. Sekiranya anda suka makan di luar, anda sepatutnya merancang pengambilan diet anda. Cari maklumat nutrien pada makanan yang anda suka di restoran kegemaran anda.

Jangan takut untuk bertanyakan kepada pelayan restoran tentang pilihan sodium rendah. Anda juga boleh meminta kepada pelayan tersebut agar tidak menambahkan garam di dalam menu makanan anda.

Hadkan Pengambilan Protein Anda

Apabila penyakit buah pinggang anda berada di tahap keempat, satu lagi perubahan yang perlu anda lakukan dalam menua harian anda ialah kurangkan jumlah pengambilan protein. Proses pemecahan protein adalah tugas yang sukar bagi buah pinggang, jadi mengurangkan pengambilan protein adalah cara terbaik untuk membantu mengekalkan baki fungsi buah pinggang anda.

Kandungan yang tinggi protein boleh didapati di dalam daging, ikan, telur, produk susu, kacang, dan produk soya. Pengurangan jumlah protein dalam diet secara umumnya bermaksud tidak lebih dari 0.8 gram  hingga 1.0 gram bagi setiap kilogram berat badan anda.

Ini bermakna sekiranya berat anda ialah 60 kilogram, pengambilan jumlah protein harian anda mestilah tidak lebih dari 48 gram hingga 60 gram sehari.

Tukar Kepada Diet Berasaskan Tumbuhan

Setelah anda mengurangkan jumlah pengambilan protein harian, anda perlulah meningkatkan pengambilan bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran di dalam diet anda. Makanan berasaskan tumbuhan adalah tinggi kandungan vitamin dan mineral.

Selain itu, makanan berasaskan tumbuahan ini memberikan manfaat kesihatan kepada anda kerana ianya rendah kolestrol dan lemak. Ini kerana kandungan lemak dan kolestrol yang tinggi boleh meningkatkan risiko anda mendapat penyakit kardiovaskular.

Walaubagaimanapun, anda perlu berhati-hati apabila mengambil sayur-sayuran dan juga buah-buahan jika anda mempunyai penyakit buah pinggang tahap empat. Ini kerana beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran seperti pisang dan kentang mengandungi tahap potassium dan fosforus yang tinggi.

Jika darah anda mengandungi tahap potassium dan fosforus yang tinggi, ia boleh mendatangkan bahaya pada kesihatan anda. Satu-satunya cara untuk mengetahui bagaimana tahap darah anda ialah dengan melakukan pemeriksaan darah secara kerap untuk memastikan darah anda berada di tahap yang normal.

Aktif Secara Fizikal

Adalah tidak lengkap apabila membincangkan tentang diet sihat jika tidak menyebut tentang aktiviti fizikal. Keseimbangan di dalam pengambilan diet sihat dan aktiviti fizikal mestilah seiring apabila anda ingin menjalani kehidupan secara sihat.

Panduan pemakanan piramid sekarang juga telah mencadangkan agar memasukkan aktiviti fizikal sebagai sebahagian dari program cadangan pemakanan. Secara umumnya, anda digalakkan agar melakukan aktiviti fizikal secara sederhana selama 30 minit pada 3 hingga 5 hari seminggu.

Oleh itu, sekiranya anda tidak aktif di dalam sebarang aktiviti fizikal, mulakan ianya sekarang secara beransur-ansur.

Sumber : LiveStrong.com l Stage 4 Kidney Failure Diet

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terbaru melalui emel.

Share

Kenali 4 Jenis Penyakit Buah Pinggang

jenis penyakit buah pinggang

sumber : google imej

Buah pinggang anda adalah satu unit penapisan darah untuk organ-organ di dalam badan. Ianya terletak di bahagian bawah belakang di kedua-dua belah tulang belakang. Di dalam buah pinggang anda pula, terdapat kelompok saluran darah yang merupakan struktur penapisan, dipanggil glomeruli. Tugas glomeruli ialah untuk menyimpan air dan membolehkan sisa-sisa buangan disingkirkan ke dalam air kencing, yang bergerak melalui saluran kencing ke pundi kencing. Terdapat banyak penyakit yang berbeza yang boleh menyebabkan kerosakan kepada buah pinggang anda, dan menghilangkan keupayaan badan untuk memastikan darah anda ditapis dengan betul.

Continue reading

Share

4 Sebab Berlaku Pembengkakan Pada Buah Pinggang Bayi (bah. 1)

kredit foto : livestrong.com

Pembesaran buah pinggang atau satu keadaan yang dipanggil sebagai hidronefrosis, boleh berlaku kepada bayi anda, samada di dalam rahim atau pun selepas dari kelahirannya. Keadaan ini adalah masalah yang paling kerap dijumpai setelah dilakukan pemeriksaan ultrasound terhadap bayi di dalam rahim, seperti yang dicatatkan oleh National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. Buah pinggang, iaitu sepasang prgan berbentuk kacang, menghasilkan air kencing dari air yang berlebihan dan bahan buangan yang ditapis dari darah. Air kencing akan melalui saluran kencing ke luar badan. Kecacatan struktur mungkin berlaku semasa pembentukan saluran kencing, dan kecacatan ini boleh menyekat pengaliran air kencing dan menyebabkan buah pinggang bayi menjadi besar.

1) Benjolan Dalam Saluran Kencing

Ureter, iaitu sepasang tiub yang berfungsi diantara buah pinggang dan pundi kencing, mungkin mengalami ketidaknormalan yang mengakibatkan penyumbatan aliran air kencing. Dibahagian hujung bawah ureter boleh berlakunya benjolan yang dipanggil ureterocele yang ke bahagian dalam pundi kencing. Perkara ini telah dijelaskan oleh  National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. Bahagian ureter yang tergelincir ke hadapan itu boleh menghalang proses pengaliran air kencing dan menyebabkan dan menyebabkan urin terkumpul di dalam saluran kencing dan buah pinggang, dan keadaan ini akan menyebabkan buah pinggang membesar. Satu prosuder pembedahan yang dilakukan boleh memperbaiki kerosakan tersebut.

2) Halangan Dalam Saluran Kencing

Selain itu bayi anda juga boleh mengalami  asalah pembengkakan buah pinggang kerana berlakunya halangan di dalam saluran air kencing, dipanggil congenital ureteropelvic junction, atau UPJ. Bayi yang mengalami halangan UPJ ini, ureter mereka akan membesar dengan sempit di tempat di mana ia berhubung dengan buah pinggang. Keadaan ini akan mengurangkan pengaliran air kencing diantara buah pinggang dan pundi kencing, dan air kencing akan terkumpul di dalam buah pinggang, yang akhirnya menyebabkan  buah pinggang membengkak. The Merck Manual for Healthcare Professionals telah mengatakan bahawa halangan UPJ boleh berkembang perlahan-lahan dan boleh menyebabkan sebahagian dari pengaliran air kencing tersumbat. Dalam kes seperti ini, buah pinggang tidak akan mengalami sebarang kesan kekal, tetapi dalam beberapa kes penyumbatan yang lebih teruk, keadaan ini akan menyebabkan kerosakan buah pinggang, seperti yang dijelaskan oleh Children’s Hospital Boston.

Sumber:

  • http://www.livestrong.com/article/203511-reasons-for-an-enlarged-kidney-in-babies/

 

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis
:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terkini yang mengandungi tip & panduan penting untuk kesihatan buah pinggang melalui emel.

Inginkan artikel seperti ini? Langgan melalui emel:

Saya menghormati privacy anda.
Share

Bagaimana Diabetis Menjejaskan Saluran Darah Dalam Buah Pinggang Anda?

Anda seorang pesakit diabetis dan disahkan oleh doktor bahawa buah pinggang anda juga telah terjejas. Adakah anda tahu bagaimana diabetis boleh menjejaskan fungsi buah pinggang anda? Mari baca artikel di bawah untuk mengetahui selanjutnya.

Buah pinggang anda adalah dua organ yang berbentuk seperti kacang yang terletak di tengah-tengah bahagian belakang. Organ ini mempunyai fungsi-fungsi yang sangat penting dan diantaranya ialah untuk mengekalkan keseimbangan badan anda. Apabila tubuh badan anda mendapat nutrien, ia akan menggunakan sekadar yang diperlukan dan selebihnya akan dihantar ke organ buah pinggang untuk tujuan pembuangan. Selain itu buah pinggang juga akan mengeluarkan bahan-bahan yang merbahaya dari badan anda. Apabila buah pinggang tidak lagi berfungsi, bahan-bahan merbahaya ini akan terkumpul di dalam darah.

Saluran Darah dan Diabetis

Buah pinggang anda terdiri daripada beribu-ribu nefron. Nefron ialah struktur di dalam buah pinggang yang berfungsi sebagai penapis. Setiap dari struktur penapis ini pula mempunyai kumpulan saluran darah yang kecil, dikenali sebagai glomeruli. Apabila darah melalui buah pinggang, glomeruli akan mengeluarkan sisa toksik dan bahan buangan dari dalam darah untuk dilupuskan melalui air kencing. Apabila kandungan gula dalam darah menjadi tinggi, kebiasaannya melibatkan penyakit kencing manis, akan menyebabkan kerosakan kepada saluran darah kecil ini dengan menjadikannya lebih tebal. Apabila keadaan ini berlaku, glomeruli akan kehilangan keupayaannya untuk menapis. Akibatnya, sisa buangan dan toksik akan berkumpul di dalam darah manakala protin akan bocor ke dalam urin.

Faktor Risiko

Menurut The National Kidney Foundation, kira-kira 30% dari mereka yang mengidap diabetis jenis 1 akan mengalami kerosakan buah pinggang. Manakala untuk diabetis jenis 2 pula, dianggarkan 10% hingga 40% daripadanya akan mengalami kerosakan buah pinggang. Selain itu, dikalangan pesakit diabetis yang mengamalkan tabiat merokok juga akan meningkatkan risiko mengalami kerosakan buah pinggang. Faktor keturunan juga memainkan peranan berlakunya kerosakan buah pinggang yang disebabkan oleh diabetis.

Kesan Sampingan

Apabila kencing manis merosakkan saluran darah di dalam buah pinggang, kesannya tidak dapat dilihat dengan segera. Oleh itu, pengidap diabetis hanya akan menyedari bahawa buah pinggang mereka telah rosak apabila setelah ianya berada di tahap yang kritikal. Salah satu tanda-tanda awal yang menunjukkan buah pinggang telah rosak disebabkan diabetis adalah dengan kehadiran sejumlah kandungan protin di dalam urin. Apabila kerosakan semakin merebak, gejala-gejala lain yang akan muncul ialah bengkak pada pergelangan kaki, tekanan darah tinggi dan kerap membuang air kecil, terutamanya pada waktu malam.

Rawatan

Kebiasaannya rawatan kepada kerosakan buah pinggang yang disebabkan oleh penyakit kencing manis bertujuan untuk melambatkan kerosakan. Mengawal tekanan darah atau hipertensi, dan tahap glukosa dalam darah adalah penting untuk rawatan jenis ini. Jenis ubatan hipertensi yang dipanggil sebagai angiotensin-converting enzyme, atau ACEinhibitors dan angiotensin receptor blockers digunakan untuk mengawal tekanan darah tinggi dikalangan pesakit diabetis, serta melindungi buah pinggang. Seorang doktor boleh menetapkan perubahan di dalam diet, insulin dan ubat anti diabetis untuk membantu mengawal tahap gula dalam darah.

Sumber: LiveStrong.com : How Does Diabetis Affect Blood Vessels In Kidneys

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terbaru melalui emel.

Share

Anda Hamil? Awasi Tanda Penyakit Buah Pinggang Menjelang Kehamilan

Adakah anda sedang hamil dan tidak sabar menunggu saat-saat kelahiran bayi anda? Tunggu dulu kerana anda lebih perlu untuk memerhatikan tanda-tanda yang akan disebutkan di bawah. Kerana ia mungkin menjadi tanda anda mengidap penyakit buah pinggang.

Perubahan yang berlaku pada badan wanita disebabkan kehamilan boleh menyebabkan gangguan tertentu, termasuk penyakit buah pinggang. Preeclampsia atau tekanan darah tinggi disebabkan kehamilan dan jangkitan yang teruk di saluran kencing, kedua-duanya boleh menjadi tanda penyakit buah pinggang semasa mengandung.

Tahukah anda bahawa wanita yang mempunyai masalah buah pinggang sebelum mengandung adalah lebih berisiko untuk mempunyai masalah buah pinggang ketika mengandung. Terdapat banyak tanda-tanda penyakit buah pinggang yang biasa berlaku ketika anda sedang mengandung, tetapi kebanyakan gangguan tersebut tidak menunjukkan sebarang gejala. Jadi langkah pencegahan yang terbaik ialah sentiasa lakukan pemantauan kesihatan termasuk fungsi buah pinggang dan tekanan darah anda.

Tahap kreatinin yang tinggi dalam urin

Salah satu tanda penyakit buah pinggang ketika saat kehamilan ialah tahap kandungan keratinin yang tinggi di dalam urin anda. Kreatin adalah asid amino yang penting untuk otot yang sihat. Apabila asid amino ini dipecahkan di dalam buah pinggang, ia bertukar menjadi kreatinin.

Ini adalah kadar penapisan glomerular, iaitu cara yang digunakan untuk mengukur fungsi buah pinggang. Julat normal perkumuhan kreatinin adalah 500 hingga 2,000 miligram (mg), bergantung kepada umur dan indeks jisim badan wanita. Semasa anda mengandung, lebih banyak darah ditapis melalui buah pinggang, dan ini akan menyebabkan beban pada buah pinggang untuk menjalankan fungsinya.

Keadaan ini juga akan menyebabkan keboleh-resapan glomerulus, iaitu saluran darah di dalam buah pinggang yang berfungsi sebagai penapis, menurun. Ia akan menjadikan tahap kreatinin dalam air kencing menjadi lebih tinggi, menjadi tanda penyakit buah pinggang atau juga kegagalan buah pinggang.

Tekanan darah tinggi

Sekiranya anda wanita yang mengalami tekanan darah tinggi ataupun preeclampsia, pemeriksaan fungsi buah pinggang perlu dilakukan ketika anda sedang mengandung. Tekanan darah tinggi akan merosakkan sistem vaskular badan, termasuk juga saluran darah yang berada di dalam buah pinggang anda. Ini akan menyebabkan buah pinggang tidak dapat menjalankan fungsinya dengan betul dan menyebabkan peningkatan cecair yang boleh membawa kepada tekanan darah tinggi.

Risiko untuk mendapat tekanan darah tinggi semasa mengandung adalah lebih tinggi bagi wanita yang berlebihan berat badan, yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai hipertensi atau multiparous, iaitu yang mengandung lebih dari satu janin.

Jangkitan saluran air kencing

Jangkitan saluran kencing yang berlaku ketika anda sedang mengandung boleh menjadi tanda penyakit buah pinggang. Pada tahun 2007, satu artikel yang ditulis oleh Dr Kevin Krane di dalam American Journal of Kidney Diseases, beliau telah menjelaskan bahawa jangkitan pada saluran kencing boleh membawa kepada jangkitan buah pinggang sebanyak 33% daripada kes yang dilaporkan. Beliau juga menjelaskan bahawa walaupun kadar jangkitan saluran kencing pada wanita yang tidak hamil dan wanita hamil adalah sama, jangkitan yang berlaku pada wanita hamil adalah lebih serius dan perlu dirawat dengan segera. Ini kerana jangkitan saluran kencing ketika hamil boleh menyebabkan berlakunya kegagalan buah pinggang dan juga kelahiran bayi tidak cukup berat.

Jadi bagaimana dengan anda? Anda sedang mengandung dan mempunyai tanda-tanda di atas? Buat pemeriksaan awal supaya anda dan bayi akan sihat sepanjang hayat.

Sumber : http://www.livestrong.com/article/199241-signs-of-kidney-disease-during-pregnancy/
 

Ditulis oleh: Abdullah Idris.
Abdullah Idris di
facebook dan twitter.
Anda ingin sihat? Dapatkan tip kesihatan bersama produk cellfood.

Anda ingin artikel seperti ini? Langgan terus melalui emel:

Mengapa perlu daftar?
Share

Tekanan Darah Tinggi & Penyakit Buah Pinggang Kronik Pada Kanak-Kanak: Panduan Untuk Ibubapa (bah 2)

Di zaman ini penyakit buah pinggang kronik tidak mustahil boleh dihidapi oleh golongan kanak-kanak. Biar pun hingga waktu ini belum lagi ditemui punca sebenar yang menyebabkan penyakit tersebut, namun dengan meningkatnya jumlah kanak-kanak yang berlebihan berat badan, mereka berisiko untuk mendapat kegagalan buah pinggang.

Di dalam artikel saya yang lepas di bawah tajuk yang sama, kita telah pun mengetahui beberapa perkara yang berkaitan. Dalam artikel kali ini, mari kita sambung beberapa lagi perkara penting yang perlu diketahui.

Apakah matlamat rawatan untuk tekanan darah tinggi pada anak saya?

Matlamatnya adalah:

  • Untuk mengurangkan tekanan darah.
  • Untuk mengelakkan penyakit buah pinggang anak anda menjadi bertambah teruk.
  • Untuk mengelakkan penyakit jantung dan saluran darah.

Tekanan darah anak anda patut dikurangkan sehingga ke tahap normal mengikut jantina, umur dan ketinggian kanak-kanak, atau pun kurang dari 130/80, yang mana lebih rendah. Anda sepatutnya bertanyakan pada doktor yang merawat anak anda apakah sasaran bacaan yang sepatutnya bagi anak anda.

Apakah jenis rawatan yang sepatutnya diberikan pada anak saya untuk mengatasi tekanan darah tingginya?

Antara jenis rawatan yang akan dilakukan ialah melakukan perubahan pada gaya hidup anak anda (soalan seterusnya akan menunjukkan contoh perubahan gaya hidup) selain mengambil ubat-ubatan. Selain itu doktor khas yang pakar dalam merawat penyakit buah pinggang dan tekanan darah tinggi dikalangan kanak-kanak juga patut terlibat dalam sesi rawatan tersebut.

Apakah jenis perubahan gaya hidup yang perlu dilakukan pada anak saya?

Doktor mungkin akan mencadangkan kepada anda langkah-langkah berikut:

  • Kurangkan berat badan anak anda sekiranya dia mempunyai berat badan berlebihan. Ini kerana berat badan yang berlebihan akan menjadikan mereka lebih berisiko mengalami masalah kesihatan lain yang serius termasuklah penyakit kencing manis dan jantung selain akan menyebabkan tekanan darah tinggi yang sedia ada menjadi bertambah teruk.
  • Kurangkan pengambilan garam dan juga makanan ringan yang masin. Sebelum melakukan langkah ini, pastikan terlebih dahulu doktor yakin bahawa anak anda tidak mempunyai penyakit buah pinggang yang boleh menyebabkan tubuh anak anda kehilangan banyak kandungan garam.
  • Jauhkan anak anda dari bahan-bahan yang boleh meningkatkan tekanan darah seperti tembakau, kafein dan berhati-hati terhadap pengambilan ubat jika anak anda mempunyai tekanan darah tinggi.
  • Sediakan satu jadual senaman yang sesuai mengikut umur dan keadaan perubatan anak anda. Meningkatkan aktiviti senaman bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan darah, malah ianya boleh membantu menurunkan berat badan sekiranya anak anda mempunyai berat badan berlebihan, sekaligus dapat mengekalkan berat badan yang sihat. Sukan dan program senaman yang diadakan di sekolah mungkin salah satu cara yang sesuai untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal kanak-kanak. Tetapi pastikan anda berbincang terlebih dahulu dengan doktor sebelum memulakan sebarang aktiviti senaman untuk anak anda.

Bagaimana pula dengan pengambilan ubat?

Sebelum menentukan  jenis ubat tekanan darah tinggi yang akan diberikan pada anak anda, doktor akan melihat faktor-faktor berikut:

  • Jenis penyakit buah pinggang kronik yang dihidapi.
  • Umur dan saiz
  • Keupayaan kanak-kanak untuk menelan pil

Terdapat banyak ubat-ubatan yang telah diuji ke atas kanak-kanak. Antaranya doktor mungkin akan memberikan kepada anak anda sejenis ubat tekanan darah tinggi berbentuk pil iaitu angiotensin converting enzyme (ACE) inhibator atau pun angiotensin receptor blocker (ARB).

Beberapa kajian yang dilakukan terhadap ubat-ubatan di atas mengakui bahawa ianya memang dapat membantu untuk melindungi fungsi buah pinggang. Sekiranya anak anda mengalami pengekalan garam dan air, doktor juga akan memberikan sejenis ubat deuretik.

Selain itu ubat seperti beta-blockers, clonidine dan calcium channel blockers juga akan digunakan dalam kombinasi bersama dengan ubat-ubatan lain. Kebiasaannya kanak-kanak yang mengidap tekanan darah tinggi dan buah pinggang kronik akan diberikan lebih dari satu jenis ubat. Namun apa sahaja jenis ubat yang diberikan, pastikan dosnya sesuai mengikut umur dan berat badan anak anda.

Berapa kerapkah tekanan darah anak saya perlu dilakukan pemeriksaan?

Tekanan darah anak anda perlu diperiksa setiap kali anda membuat temujanji bersama doktor yang merawat andak anda. Anda sebagai ibu bapa juga patut belajar bagaimana untuk mengambil tekanan darah anak anda. Atau sekiranya ada jururawat di sekolah, mereka juga boleh membantu untuk membuat pemeriksaan tekanan darah anak anda dan menyimpan rekodnya. Rekod ini boleh anda bawa dan tunjukkan pada doktor pada temujanji akan datang.

Apabila memeriksa tekanan darah anak anda, pastikan anda menyimpan keputusan yang sebenarnya untuk ditunjukkan pada doktor. Jangan menipu keputusan untuk ditunjukkan kepada doktor. Ini kerana sekiranya keputusan tidak memuaskan doktor boleh memikirkan kaedah rawatan lain untuk menurunkan tekanan darah anak anda.

Apakah anak saya memerlukan ujian lain?

Pada lawatan susulan, doktor mungkin akan melakukan beberapa ujian tambahan. Ujian ini bertujuan untuk melihat bagaimana fungsi buah pinggang anak anda, antaranya:

  • Ujian kadar penapisan glomerular atau GFR, di mana ujian ini dapat membantu doktor mengesan sejauh mana fungsi buah pinggang anak anda. Melalui ujian ini, fungsi buah pinggang dapat dikesan dengan melihat pada keputusan ujian darah dengan melihat pada kadar kreatinin dalam darah. Kreatinin ialah bahan buangan yang terhasil dari aktiviti otot. Sekiranya ujian menunjukkan tahap kreatinin dalam darah adalah tinggi, ini bermakna fungsi buah pinggang telah merosot.
  • Ujian tahap protin urin. Sekiranya kandungan protin di dalam urin berada pada tahap yang tinggi, ini menunjukkan risiko buah pinggang anak anda bertambah teruk adalah tinggi. Selain itu anak anda juga berisiko untuk mendapat penyakit jantung dan juga penyakit di saluran darah. Oleh itu merawat tekanan darah tinggi anak anda dapat membantu untuk menurunkan tahap protin di dalam urin.

Sebagai ibubapa, apa yang boleh saya lakukan untuk membantu anak saya?

  • Jika anak anda mempunyai berat badan berlebihan, maka adalah sangat penting untuk anda berusaha untuk menurunkan berat badannya. Anda boleh membantu dengan menyediakan makanan yang mempunyai jumlah kalori untuk memenuhi keperluan anak anda. Minta doktor untuk anda dirujuk kepada pakar diet yang berdaftar untuk membantu anda membuat jadual perancangan diet yang sesuai.
  • Bincangkan juga dengan doktor tentang jadual senaman yang sesuai untuk anak anda.
  • Jika doktor ada memberikan ubat tekanan darah, pastikan agar anak anda mengambil ubat tersebut mengikut sepertimana yang diarahkan. Dan laporkan juga pada doktor sekiranya anak anda mengalami apa-apa kesan sampingan.

Jadi bagaimana dengan anda? Apakah anda mempunyai anak yang mempunyai tekanan darah tinggi?

Tulis dan kongsikan pengalaman anda bersama saya kerana saya ingin membacanya.

Sumber : http://www.kidney.org/atoz/content/hbpchildren.cfm
 

Ditulis oleh: Abdullah Idris.
Abdullah Idris di
facebook dan twitter

Anda ingin artikel seperti ini? Langgan terus melalui emel:

Mengapa perlu daftar?
Share

Tahukah Anda nefrotik Sindrom?

Assalamualaikum pembaca sekalian,

Nefrotik sindrom boleh berlaku apabila unit penapisan buah pinggang rosak. Kerosakan ini akan menyebabkan protin yang kebiasaannya disimpan di dalam plasma, akan bocor ke dalam urin dalam jumlah yang besar. Ini akan menyebabkan kandungan protin di dalam darah anda menjadi kurang. Fungsi protin di dalam darah ialah untuk meyimpan bendalir yang berlebihan di dalam aliran darah. Apabila jumlah protin  berkurangan di dalam darah, bendalir akan masuk ke dalam tisu-tisu badan anda dan akan menyebabkan pembengkakan. Ianya dipanggil edema. Edema akan jelas kelihatan pada kaki terutamanya bila anda berdiri dan juga di dalam tisu di bawah mata terutamanya apabila anda bangun dari tidur. Akhirnya bengkak di kaki anda akan terus di situ. Edema juga boleh berlaku pada anggota badan anda yang lain. Anda juga mungkin akan melihat urin anda mengandungi banyak buih berbanding dari kebiasaannya. Ini disebabkan oleh kebocoran protin ke dalam urin.

Continue reading

Share

Gejala Kegagalan Buah Pinggang:Bagaimana Mengenalpastinya?

Assalamualaikum pembaca sekalian,

Gejala kegagalan buah pinggang boleh menjadi tanda bahawa ada masalah perubatan yang serius, tetapi bagaimana anda boleh tahu jika anda mengalami keadaan ini?

Buah pinggang anda merupakan organ yang penting, dan fungsinya ialah  membantu membuang sisa yang tidak diperlukan dan melaksanakan fungsi-fungsi lain yang penting.

Kegagalan buah pinggang akut mempunyai tiga punca, dan ianya disebabkan oleh jangkitan, racun, atau ubat-ubatan, kekurangan aliran darah kepada buah pinggang, atau tersumbat secara tiba-tiba yang menghalang anda dari membuang air kecil.

Kesakitan pada buah pinggang yang disebabkan batu karang boleh menjadi isyarat yang menunjukkan bahawa penilaian perubatan diperlukan, kerana batu-batu ini mungkin menyekat saluran kencing anda.

Pyelonefritis kronik adalah satu keadaan yang boleh menyebabkan gejala kegagalan buah pinggang. Lain-lain peningkatan risiko termasuk usia terlalu tua, mempunyai keadaan kesihatan kronik atau penyakit dalam jangka masa panjang, atau pernah menjalani pembedahan jantung utama atau pembedahan perut.

Gejala kegagalan buah pinggang termasuk mempunyai air kencing yang sangat sedikit, atau tiada sama sekali apabila anda cuba untuk membuang air kecil. Bengkak di kaki, tiada selera makan, rasa loya, muntah-muntah, kekeliruan, sakit rusuk, dan kebimbangan juga menunjukkan tanda-tanda buah pinggang anda mempunyai masalah.

Sista buah pinggang boleh menyebabkan gejala-gejala ini di kawasan-kawasan tertentu, dan ini juga boleh menjadi masalah jika sista menjadi besar dan menghalang saluran pembuangan air kencing.

Glomerulonefritis kegagalan buah pinggang pula adalah punca utama kegagalan buah pinggang. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan pendedahan kimia, dan ia boleh menyebabkan gejala kegagalan buah pinggang mula berlaku.

Jika anda telah terdedah kepada sejumlah besar bahan kimia, atau bahan kimia dan racun berbahaya untuk jangkamasa yang singkat, maka anda perlu mendapatkan bantuan perubatan jika anda mula menyedari apa-apa tanda atau gejala luar biasa.

Glomerulonefritis berhubung dgn urat saraf biasanya akan mengakibatkan sejumlah besar protein dilepaskan ke dalam air kencing anda. Anda kemungkinan tidak menyedari akan masalah ini dan hanya menyedarinya apabila berlakunya gejala kegagalan buah pinggang.

Mana-mana tanda bahawa buah pinggang anda mungkin mempunyai masalah harus diperiksa dengan teliti oleh doktor atau kakitangan perubatan yang lain. Jika tidak dirawat dengan segera, buah pinggang anda boleh mengalami kegagalan, yang akhirnya boleh membawa kepada kematian.

 

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terbaru melalui emel.

Share