Kaitan Antara Jantung & Sakit Buah Pinggang


Assalamualaikum pembaca sekalian,

Kalau anda masih ingat, tema Hari Ginjal Sedunia pada tahun ini yang disambut pada 10 Mac setiap tahun ialah ‘Lindungi Ginjal,Selamatkan Jantung’. Tema ini dipilih kerana hendak menunjukkan betapa rapatnya perkaitan diantara kesihatan buah pinggang yang dapat menjamin kesihatan jantung. Jadi dalam artikel kali ini saya kongsikan dengan pembaca semua artikel yang pernah ditulis di dalam akhbar online berita harian. Dan di akhir artikel saya sertakan juga link rujukan artikel tersebut.

Rawatan dialisis tidak mencukupi dedahkan komplikasi organ lain

KHAMIS ini atau 10 Mac, adalah Hari Ginjal Sedunia. Malangnya, tidak ramai yang menyedari tarikh yang menjadi sebahagian kempen kesedaran peri pentingnya organ utama itu kecuali individu itu adalah penghidap atau mempunyai rakan atau ahli keluarga yang menghidap penyakit ginjal atau buah pinggang berkenaan.

Namun berbanding penyakit kronik lain, hakikatnya masih ada harapan bagi pesakit ginjal atau buah pinggang ini untuk meneruskan kehidupan. Ini kerana, apabila seseorang itu mengalami kegagalan buah pinggang, pilihan rawatan yang boleh dijalani termasuk haemodialisis, peritoneal dialisis dan pemindahan ginjal.

Bagaimanapun, majoriti kes menyaksikan pesakit memilih untuk menjalani haemodialisis kerana pusat dialisis seumpamanya mudah didapati selain kos rawatannya yang tidak terlalu tinggi.

Sebelum ini, rawatan haemodialisis yang standard adalah empat jam tiga kali seminggu, bagaimanapun keadaan pesakit kini lebih berbeza kerana ada yang turut menghidap penyakit sampingan seperti masalah jantung.

Malah, bagi pesakit yang menerima rawatan dialisis, kegagalan fungsi buah pinggang turut menjadi penyebab utama penyakit jantung jika dialisis yang diterima tidak mencukupi. Atas kesedaran serta kaitan antara ginjal dan jantung, sambutan Hari Ginjal Sedunia tahun ini bertemakan ‘Lindungi Ginjal, Selamatkan Jantung.’

Perlu diingat, kehadiran penyakit jantung itu hanya merumitkan lagi proses rawatan dialisis kerana haemodialisis (HD) konvensional tidak lagi selamat atau sesuai. HD boleh menyebabkan sakit dada, tekanan darah rendah atau serangan jantung sama seperti kesan apabila berlari menaiki tangga.

Di sinilah, keperluan perlu diubahsuai mengikut kesesuaian dan apakah pilihan dialisis yang ada bagi pesakit jantung disebabkan oleh kekurangan dialisis.
Ketua Jabatan Nefrologi dan Khidmat Pemindahan Ginjal Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Tan Si Yen, berkata HD konvensional sudah mencapai tahap maju dan selamat namun masih tidak sesuai untuk pesakit jantung kerana rawatan ini yang dijalankan ke atas pesakit jantung akan memberi kesan tekanan rendah atau serangan jantung.

“Atas dasar itu HD konvensional diubahsuai bagi memastikan dialisis yang diterima mencukupi bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan mengelakkan tekanan berlebihan pada jantung, ini boleh dilakukan dengan menjadikan rawatan dialisis lebih menyerupai fungsi buah pinggang sebenar,” katanya, ketika ditemui baru-baru ini.

Hemodiafiltrasi (HDF) adalah alternatif kepada kaedah konvensional dengan penambahan sejenis komponen penapis khusus. Penapis khas yang berfungsi seperti ginjal ini membolehkan rawatan HDF lebih diterima jantung. Biarpun cukup popular di negara maju, kosnya yang tinggi sukar didapati di negara membangun.

Dengan kos dua kali ganda lebih tinggi berbanding HD konvensional, ia turut memerlukan mesin hemodialisis yang lebih berteknologi tinggi di samping perlu menggunakan bekalan air osmosis berbalik (RO Water) berkualiti tinggi.

Alternatif lain adalah HD nokturnal (dialisis waktu malam) harian yang mana pesakit akan menjalani dialisis selama lapan jam sepanjang malam selama enam hari. Dengan tempoh dialisis lebih panjang, kadar aliran darah boleh menjadi serendah 150 mililiter seminit dan kadar aliran cecair lebih rendah yang boleh mengurangkan tekanan ke atas jantung.

Jelas Dr Tan, kestabilan tekanan darah adalah salah satu elemen penting HD nokturnal terutama kepada pesakit yang mengalami masalah jantung.

“Tempoh dialisis yang lebih lama menjadikannya lebih efektif dan kebanyakan pesakit tidak perlu lagi mengambil ubat antihipertensi, ubat menurunkan kolesterol dan bagi mengawal tahap haemoglobin kerana hanya dos rendah erythropoietin diperlukan. Pesakit juga mendapat manfaat dari segi nutrisi kerana rawatan dialisis ini lebih berkesan.

“Malah, risiko kemasukan wad akibat jangkitan mahupun komplikasi penyakit jantung juga berkurangan. Aktiviti harian pesakit juga tidak lagi terganggu terutama pesakit yang bekerja mahupun yang masih belajar. Dengan itu kualiti hidup pesakit dapat diperbaiki seiring dengan meningkatnya mutu perawatan klinikal,” katanya.

Walau bagaimanapun, faktor kekangan utama adalah kos dan kekurangan peralatan berkaitan. Selain kos perubatan ia juga perlu ekonomikal dari segi logistik memandangkan pesakit perlu bermalam di hospital.

“Justeru, sebagai hospital pertama di Malaysia yang memiliki peralatan ini biarpun jumlah penggunanya masih kecil, kami percaya ia menjadi batu loncatan kepada pelbagai lagi rawatan dialisis yang boleh ditawarkan kepada lebih ramai lagi pesakit warga tempatan.” katanya.

 

Sumber artikel : http://goo.gl/SVG5X

Anda rasa artikel di atas bermanfaat? Kongsikanlah ia dengan rakan-rakan anda. Atau klik butang like dan juga google plus one di bawah. Saya sangat menghargainya.

Tentang penulis: Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terkini yang mengandungi tip & panduan penting untuk kesihatan buah pinggang melalui emel.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

One thought on “Kaitan Antara Jantung & Sakit Buah Pinggang

  1. Pingback: Diet Fosforus & Potassium Untuk Penyakit Buah Pinggang Kronik l Buah Pinggang Sihat Dot Com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge

PERCUMA!Panduan Diet Untuk Pesakit Buah Pinggang


%d bloggers like this: